Tuesday, August 15, 2006

You've got email!! (lagik2 CT)

RAYUAN DEMI PERI KEMANUSIAAN

Kepada Sdra Pengantin,

Tahniah di atas perkahwinan sdr yang bakal menjelang. Kami kawan-kawan semuanya mengucapkan tahniah dan selamat berbahagia, serta semoga jodoh berpanjangan, dan insya Allah kami akan hadir di majlis saudara.
Walau bagaimanapun, setelah mengambilkira tahap kemeluatan rakyat Malaysia terhadap laporan-laporan media berkaitan persiapan perkahwinan beberapa 'celebrity' tempatan yang bakal berlangsung, sukacita kami mencadangkan kepada sdr dan bakal isteri agar tidak terjebak dalam perkara-perkara yang tidak senonoh seperti berikut:

(1) Sekiranya sdr bercadang mengadakan majlis perkahwinan di pusat-pusat persidangan seperti Kuala Lumpur Convention Centre, diharap sdr dapat memberi pertimbangan kepada pengguna-pengguna jalanraya di sekeliling tempat majlis itu diadakan. Besar harapan kami sekiranya sdr tidak menyekat atau mengubah laluan trafik, terutamanya ketika sdr mengadakan raptai penuh majlis perkahwinan pada hari dan masa orang-orang tengah sibuk nak pergi atau balik dari kerja.

(2) Kami tidak mempunyai halangan sekiranya sdr dan isteri mengimpikan majlis perkahwinan ala "Cinderella". Mana-mana pasangan pengantin juga berhak memilih tema-tema seperti "Beauty and The Beast", "Snow White &TheSeven Dwarfs", "Happy Happy Puffy Amy Yumi", "PowerPuff Girls", "CourageThe Cowardly Dog", malah ala "Basic Instinct" atau "XXX", err, maksud saya,"X-Men", sekali pun. Kami hanya memohon jasa baik sdr agar tidakmenghuraikan impian sdr dengan panjang lebar dalam surat khabar, contohnya tentang gaun pengantin tujuh lapis (tak panas ke?), kek tujuh tingkat dengan bertangga, naik kereta kuda tujuh roda dan sebagainya. Sesungguhnya, dalam zaman di mana kita perlu memelihara alam sekitar, amat tidak wajar sekali banyak pokok terpaksa dikorbankan untuk diproses menjadi kertas suratkhabar, tetapi dicetak dengan cerita-cerita fantasi seperti itu.

(3) Adalah juga dicadangkan agar sdr dan pihak keluarga belah pengantin perempuan, utamanya ibu bapa mertua, membuat "message alignment" agar tidak mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang bercanggah berkaitan perkara-perkara seperti duit hantaran. Sesungguhnya kami tidak mempunyai apa-apa halangan tentang jumlah duit hantaran, sama ada RM88,888.88 atau RM22, 222.22 atau RM00,000.00, dan juga tidak hirau sama sekali sekiranya duit hantaran itu dibayar dalam bentuk Ringgit Malaysia, rupiah Indonesia atau menggunakan kad kredit. Yang penting, sdr dan isteri selamat diijabkabulkan dengan memenuhi syariah.

(4) Sekiranya sdr dan isteri bertuah menerima tawaran mana-mana stesen televisyen agar majlis sdr disiarkan secara langsung di tv kelak, besar harapan kami sekiranya sdr memaklumkan stesen televisyen tersebut agar tidak membatalkan rancangan-rancangan lain yang lebih penting dan bermakna seperti EPL, CSI, dan Formula 1. Kami juga mengucapkan tahniah sekiranya demi memenuhi permintaan segelintir peminat sdr, sdr perlu melangsungkan majlis perkahwinan tambahan di Indonesia, Inner Mongolia, Swaziland , BukinaFaso atau Solomon Islands, tetapi kami amat amat amat berterima kasih sekiranya sdr memaklumkan kepada semua stesen televisyen di Malaysia agar tidak menyiarkan majlis perkahwinan sdr sepanjang masa, termasuk semasa tayanganBerita Perdana. Mujurlah Akademi Fantasia sudah selesai. Kalau tidak, harus pusingan Final AF terpaksa ditangguh semata-mata nak menyiarkan majlis perkahwinan sdr. Bukankah itu akan menjejaskan pendapatan syarikat-syarikat telekomunikasi negara (Maxis, Celcom, Digi), seterusnya membawa kepada kemerosotan ekonomi?Jasa baik sdr dan bakal isteri dalam memberi pertimbangan yang adil dan sewajarnya kepada rayuan rakyat marhaen seperti kami amat kami alu-alukandan didahului dengan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih.Semoga pernikahan sdr dan bakal isteri direstui dan diberkahi Allah s.w.t. Aaaamin.

Selamat menjadi Pengantin Baru (tanpa menyusahkan orang lain)!

Salam hormat,Siti K.

No comments: